CINA yang bukan Cina, Siam pun bukan, jauh sekali Melayu. Itulah gambaran pertama dilontarkan penduduk Kelantan ketika diminta berkongsi mengenai masyarakat Cina Peranakan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Terbukti, kata-kata mereka bukan sekadar tanggapan biasa kerana ia menepati perwatakan masyarakat itu.
Lebih menambah kekeliruan, hampir semua orang Cina Peranakan yang ditemui penulis memulakan perbualan dengan ‘Assalamualaikum’ selain turut diselitkan ‘Alhamdulillah’ dan ‘Insya-Allah’ ketika berbual. Ditambah dengan kain sarung yang tak lekang dari tubuh, proses mengenal pasti bangsa mereka menjadi semakin rumit.
Sudahnya, penulis terpaksa bertanya adakah mereka Melayu atau Cina dan semuanya akan tertawa dulu sebelum menjawab dalam loghat pekat Melayu Kelantan - “Kawe Cino. Bakpo demo tok ce kawe ni Cino?” (Saya Cina. Kenapa pula awak tak cam yang saya ni Cina).
Pasti setiap kali jawapan begitu keluar dari mulut mereka, lantas rasa malu mula terasa di hati penulis dan sesi perbualan menjadi tersekat-sekat. Namun, apabila proses temubual diteruskan, secara perlahan-lahan datang rasa lupa bahawa di depan itu seorang Cina kerana mereka lebih Melayu daripada Melayu sebenar.
Tidak ada sepatah pun bahasa Cina digunakan meskipun berbual dalam kalangan mereka sendiri. Pendek kata, bahasa Melayu Kelantan boleh diangkat sebagai bahasa rasmi mereka. Ketika ditanya, mereka sebenarnya bukan tidak tahu bahasa Cina atau bahasa Hokkien iaitu asal keturunan mereka. Jika mereka berbahasa Hokkien, pasti nahu dan tata bahasanya akan tunggang langgang sekali gus memeningkan kepala.
Lupakan seketika keunikan itu kerana ada persoalan yang mahu dikupas mengenai siapa sebenarnya mereka. Adakah Cina Peranakan di Kelantan wujud akibat campuran budaya yang menebal selepas membesar dalam kelompok masyarakat Melayu atau sememangnya mereka mempunyai darah perkahwinan campur antara orang Cina Hokkien dengan orang Melayu dan mungkin juga Siam?
Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Law Awang, 60, menafikan tanggapan kedua. Beliau mempunyai keyakinan bukan semua orang Cina Peranakan atau juga dikenali Cina Kampung mempunyai darah perkahwinan campur dengan orang tempatan sama ada Melayu atau Siam.
“Tidak semua. Memang ada sebahagian nenek moyang kami yang memasuki Kelantan sejak ratusan tahun dulu pernah berkahwin dengan orang Siam tempatan tetapi tidak semua. Ada yang berkahwin dengan wanita di China dan berhijrah ke sini, seterusnya tinggal di pesisir sungai seperti orang lain.
“Saya melihat kewujudan masyarakat ini lebih kepada campuran budaya dengan orang Melayu dan Siam. Selepas beratus-ratus tahun mewujudkan generasi kedua dalam kelompok masyarakat asal itu, ia sekali gus mengubah budaya dan cara hidup orang Cina Kampung kepada budaya tempatan.
“Sebenarnya, istilah Cina Peranakan pun baru saja diberikan pengkaji, Prof Dr Tan Chee Bee. Sebelum ini, kami dikenali pelbagai gelaran seperti Poa Teng Huan (separuh Cina, separuh Melayu) dan Poa Teng Siam (separuh Siam) oleh orang Cina Bandar.
“Orang Melayu pula mengenali kami sebagai Cina Kampung, Cina Kelantan atau Cina Kita. Masyarakat ini wujud bukan disebabkan darah keturunan perkahwinan campur tetapi siapa saja yang ibu bapanya lahir di Kelantan, anak mereka pun lahir di Kelantan serta mengamalkan cara hidup Melayu layak digelar Cina Peranakan,” katanya.
Namun, di sebalik penafiannya mengenai masyarakat itu bukan berdarah keturunan Cina dan Siam, ada satu persoalan yang sukar untuk beliau sendiri huraikan. Jika benar Cina Peranakan hanya mendapat gelaran itu disebabkan campuran budaya dan cara hidup, bagaimana pula wajah mereka mirip Melayu atau Siam?
Jika orang Cina lain mempunyai kulit putih melepak, kebanyakan Cina Peranakan berkulit sawo matang. Bentuk muka juga langsung tidak sama dengan Cina lain. Sekali pandang, sukar untuk mempercayai mereka adalah orang Cina kecuali selepas melihat kad pengenalan mereka.
Nama mereka juga tidak melambangkan Cina sebenar dengan ada yang menggunakan nama Awang, Dollah dan sebagainya. Justeru, jika benar tiada campuran darah Siam atau Melayu, mana mungkin mampu merubah karakter wajah Cina semata-mata kerana percampuran budaya?
“Susah untuk mendefinisikan masyarakat ini. Apa yang pasti Cina Peranakan merujuk masyarakat Cina Kampung yang mengamalkan budaya hidup kampung seperti orang Melayu dan Siam. Dalam perlembagaan persatuan misalnya, selain sekurang-kurangnya dua generasi lahir di Kelantan, menggunakan bahasa Cina Kampung dan Melayu Kelantan, individu itu juga mesti berbudaya Cina Kampung untuk layak digelar Cina Peranakan.
“Namun, kami akui wajah kami ada mirip orang Melayu dan Siam. Saya juga setuju ramai nenek moyang kami dulu berkahwin dengan orang Siam tetapi saya difahamkan tidak semua. Tapi... bagaimana pula wajah kami tidak nampak seperti Cina,” keluh Law Awang sambil mengerutkan dahinya.
Persoalan yang sukar untuk dihuraikan kerana tidak ada bukti sejarah bertulis untuk memperincikan punca kewujudan masyarakat ini. Berbeza dengan Jawi Peranakan (Melayu Peranakan) di Pulau Pinang atau Chetti Melaka (Hindu Peranakan) yang jelas wujud kerana perkahwinan campur orang dari India dengan anak tempatan terutama Melayu.
Apapun, Cina Peranakan tetap unik dan sukar untuk ditemui di mana-mana. Loghat Melayu Kelantan itu sendiri sudah terlalu unik, ditambah pula apabila ia dituturkan oleh orang Cina tanpa sebarang bunyi pelat. Karakter dan perwatakan mereka ada kalanya kelihatan lebih Melayu daripada Melayu sendiri.
Permainan wayang kulit menjadi kegemaran mereka. Malah, ada beberapa tok dalang dalam kalangan masyarakat itu dengan dua daripadanya sudah dikenali di Kelantan. Jika kita berada di depan pentas mendengar celoteh Tok Dalang yang melontarkan dialog watak wayang kulit, pasti tidak tahu ia dikeluarkan dari mulut seorang Cina!
Begitu juga jika merayau di sekitar kampung. Jangan terkejut melihat semuanya (kecuali orang muda) berkain sarung (batik atau pelikat). Wanita menyapu sampah di halaman berkain batik dan suaminya pula leka membaca akhbar berbahasa Melayu berkain pelikat.
Tidak cukup dengan itu, ramai juga dalam kalangan mereka mahir menulis dan membaca tulisan Jawi. Terpegun seketika penulis apabila berjumpa dengan beberapa warga emas Cina Peranakan yang petah berpantun sambil seorang lagi mengarang kembali pantun itu dengan tulisan Jawi. Hebat! Orang Melayu pun tidak ramai pandai menulis Jawi.
Mereka masih mendiami kawasan pesisir sungai kerana meneruskan cara hidup sejak dulu iaitu bertani. Tidak ramai berpindah ke bandar kecuali golongan muda yang memilih untuk mengubah taraf hidup sendiri. Namun, dengan hidup bertani, mereka sudah dianggap mewah kerana memiliki tanah puluhan ekar dengan kebanyakannya memfokuskan kepada tanam padi dan buah salak. - Bersambung esok.
Seramai 16,000 diami negeri Siti Wan Kembang
GELARAN Cina Kampung atau Cina Kita diberikan kepada masyarakat Cina Peranakan di Kelantan sejak berzaman lamanya oleh masyarakat Melayu dan Siam. Ada juga yang menggelar mereka Cina Kelantan. Gelaran Cina Peranakan dikatakan baru saja diberikan seorang pengkaji, Dr Tan Chee Beng.
Merujuk gelaran yang pernah diberikan orang Melayu dulu dan masih selesa digunakan hingga kini, jelas menunjukkan latar belakang masyarakat Cina berbudaya Melayu itu yang mendiami kawasan kampung di pesisir sungai Kelantan.
Mereka memang orang Cina di kampung. Budaya dan rutin hidup mereka cara orang kampung. Makanan, pakaian, pertuturan dan apa saja yang dilakukan saban hari adalah cara orang kampung. Hanya agama yang membezakan mereka dengan orang Melayu, selebihnya sama saja.
Mereka makan masak lemak, nasi kerabu, sambal belacan, jering dan apa saja masakan orang Melayu. Mereka berkain sarung di rumah. Malah, mereka juga percaya kepada bomoh, antara kepercayaan yang sinonim dengan orang Melayu atau Siam.
Di Kelantan, ada 47 kampung tradisional yang sejak dulu didiami masyarakat berketurunan Cina dan dikatakan penempatan itu bermula sejak 600 tahun dulu dengan kebanyakannya terletak di tebing sungai dari Kota Bharu hingga ke Gua Musang dalam jarak lebih kurang 180 kilometer.
Mengikut rekod Persatuan Peranakan Cina Kelantan, ada hampir 16,000 Cina Peranakan di Kelantan dengan hanya hampir 2,000 daripadanya sudah berhijrah dan menetap di bandar, manakala sebahagian besarnya masih kekal di kampung.
Kampung Mata Ayer di jajahan Machang menjadi kampung dengan penempatan paling ramai iaitu lebih kurang 2,000 orang, diikuti Kampung Kulim, Kampung Dusun Pulai dan Kampung Pasir Parit yang penduduknya dianggarkan lebih kurang 1,000 orang.
Uniknya, penempatan mereka di kebanyakan kampung dibina secara terancang dan tersusun. Jika kita menjengah ke kebanyakan lokasi perkampungan sekitar Kelantan, tidak disangka ada orang Cina di situ kerana kebiasaannya akan melalui deretan rumah orang Melayu.
Selepas meneroka ke kawasan lebih dalam iaitu sehingga ke tebing sungai, baru kelihatan ada rumah dihiasi tanglung atau patung Buddha. Paling tidak pun, tulisan Cina berwarna merah menghiasi pintu rumah kampung yang coraknya seakan-akan rumah Melayu, cuma atapnya lebih runcing.
Kekeliruan pasti timbul kerana meskipun sudah melalui kawasan deretan rumah yang dihiasi objek orang Cina, sukar untuk membezakan mereka kerana ada berwajah Melayu atau Siam. Jika disapa, pertuturan mereka tidak langsung melambangkan orang Cina kerana pelat mereka sudah tiada.
Justeru, itulah keunikan mereka kerana mampu berjiran dengan masyarakat Melayu, apatah lagi dapat menyerap budaya di sekeliling mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan